Thursday 19 January 2012

Khutbah Jumaat [USRAH SAKINAH] - 20 Januari 2012 bersamaan 26 Safar 1433H

Assalammualaikum wbt. Alhamdulillah, pada minggu ini masuk lah minggu yang ketiga bagi tahun 2012. InsyaAllah, pada minggu ini, khutbah yang bertajuk Usrah Sakinah akan  disampaikan di Masjid Ar-Rahman. Untuk pengetahuan jemaah sekalian, teks khutbah jumaat boleh disemak melalui laman sesawang Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) atau klik link Teks Khutbah - USRAH SAKINAH. Syukran Jazilan.


Antara isi kandungan Khutbah Jumaat pada minggu ini ialah :
1- Pembentukan sebuah negara yang maju dan harmoni bukanlah satu cita-cita yang boleh dianggap remeh dan hanya boleh diusahakan oleh sesetengah pihak sahaja. Negara yang maju dan harmoni bermula dari kelompok masyarakat yang berintegriti, berilmu dan harmoni.

2- Hari-hari yang kita lalui mempamerkan keadaan masyarakat yang cantik di luar tetapi penuh dengan virus dan penyakit di dalamnya. Pelbagai masalah sosial dan akhlak seperti penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, pengabaian terhadap warga tua, wanita, kanak-kanak dan bayi yang tidak berdosa dipelopori oleh masyarakat Islam.

3- Asas kepada permasalahan ini ialah pembentukan sesebuah keluarga itu sendiri yang terdiri daripada suami dan isteri yang sah serta anakanak yang lahir hasil perkongsian hidup. Ramai yang ingin berkahwin tetapi ramai juga yang lupa kepada hikmah perkahwinan yang menjadi sunnah baginda SAW itu sendiri.

4-  Daripada Surah Ar-Ruum ayat 21, Allah SWT dengan sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang, menjadikan daripada ikatan perkahwinan yang sah itu perasaan kasih sayang dan kasihan belas, agar kita mendapat ketenangan daripada perkongsian hidup suami dan isteri, maka akan terserlah sebuah  'Usrah Sakinah' di bawah payung kasih Allah SWT.

5- Antara faktor yang membawa kepada runtuhnya keluarga yang dibina dan permasalahan  sosial yang semakin membimbangkan ialah:
  • Pertama: Niat yang lari daripada tujuan sebenar perkahwinan.
  • Kedua: Putusnya hubungan kehambaan kepada Allah SWT
  • Ketiga: Gagal mencontohi keluarga junjungan Nabi Muhammad SAW
6-  Yakinlah bahawa mencontohi cara kehidupan Baginda SAW tidak akan membawa sebarang kerugian, bahkan akan membawa seribu satu keberkatan dalam setiap pekerjaan kita, terutama sekali keberkatan dan ketenangan hidup bersama keluarga kita. Dunia hari ini tanpa sempadan. Islam adalah penyelesaian bagi menentukan baik atau buruknya sesuatu perkara itu

7- Raikanlah dan tunaikan hak-hak kewajipan sebagai suami dan isteri dengan sebaiknya, suami jangan sesekali bertindak kasar terhadap isteri dan isteri wajib menjaga maruah dan taat kepada suami dalam apa jua 4 situasi selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam.

8- Ibubapa hendaklah menjadikan tarbiyah anak-anak sebagai keutamaan. Bukan sahaja keperluan asas yang dititik beratkan bahkan ajaran agama, pengajian Al-Quran, Hadis, Aqidah, Feqah, Akhlak dan sebagainya wajib dipelajari sehingga diamalkan, barulah usaha mendidik anak-anak dikira berjaya disisi Allah SWT

9- Bagi anak-anak pula, merka pewaris agama, bangsa dan negara. Taatilah ibu dan bapa, hormatilah mereka, kenangkanlah kesusahan ibu mengandungkan kamu 9 bulan, bayangkanlah kepayahan ayah berusaha keras bekerja siang dan malam mendapatkan rezeki buat kamu.

10- Tunaikanlah solat apabila sampai waktunya, jangan leka dan malas mendirikan solat, berbaktilah kepada ibubapa dan kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihi kamu ketika kamu kecil.

11- Kesimpulan yang dapat dijadikan pengajaran pada hari ini adalah:
  • Pertama: Keluarga adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada kita.
  • Kedua:  Kebahagiaan sesebuah rumah tangga berkait rapat dengan perlaksanaan setiap suruhan Allah SWT
  • Ketiga:   Pembinaan Usrah Sakinah mestilah ditunjangi ajaran alquran dan Al-Sunnah.

No comments:

Post a Comment