Wednesday, 11 January 2012

Jemaah Dalam Islam


Para ulama telah mengertikan jemaah dalam dalil-dalil syara’ dengan beberapa erti berikut:

a. Ia bermaksud masyarakat Islam yang ramai (As-Sawad Al-A`azam).
b. Ia bermaksud para ulama mujtahidin.
               
Allah taala menjamin bahawa para ulama Islam tidak akan sama sekali bersepakat dalam kesesatan.
Ini adalah pandangan Imam Al-Bukhari dan ramai ulama Usul dan Salaf. Imam Al-Bukhari menulis satu tajuk dari bab di dalam bukunya;

“Bab ‘dan demikian itu kami jadikan kamu satu umat pertengahan’ dan apa yang diperintahkan oleh Nabi s.a.w untuk melazimi jemaah, iaitu ahli ilmu”

At-Turmuzi berkata;
“Dan tafsir jemaah di sisi ahli ilmu ialah ahli fiqh, ilmu pengetahuan dan hadits.”

Al-Kirmani berkata;
“Ketentuan perkara dalam melazimi jemaah ialah wajib bagi seorang mukallaf untuk mengikuti apa yang telah diijma’ oleh para mujtahidin.”

c.  Ia bermaksud para Sahabat secara khusus.
d. Ia bermaksud jemaah orang Islam dibawah kepimpinan seorang pemimpin.
Ia merujuk kepada sekumpulan masyarakat Islam yang apabila telah bersetuju untuk berada dibawah satu kepimpinan politik dalam sebuah negara atau pemerintahan. Maka tidak boleh berlepas diri dari taat setia (bai`ah) yang diberikan kepada pemimpin itu.

e. Ia bermaksud jemaah umat Islam keseluruhannya (Ahl Al-Islam).
Maka yang dimaksudkan di sini ialah bersama dengan umat Islam dalam anutan agamanya, tidak berjemaah bermaksud tidak menganut Islam dan meninggalkan berjemaah bermaksud murtad dari agama.

Apabila dinilai pandangan para ulama mengenai jemaah maka dapat disimpulkan erti jemaah merujuk kepada:
Jemaah dalam erti satu struktur politik iaitu apabila satu masyarakat Islam yang telah   bersepakat ke atas satu kepimpinan dan pemerintahan.Mereka telah bersetuju untuk memberi taat setia (bai`ah) kepadanya. Jemaah ini boleh dalam satu masa hilang dan tidak wujud. Termasuk di sini ini ialah kuasa politik Islam di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w semasa hidupnya dan sebuah negara Islam.

Hakikat ini dapat dilihat dari hadits yang bermaksud: 
“Sesiapa yang melihat sesuatu yang dibenci dari pemimpinnya, hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang keluar dari jemaah sejengkal maka matinya seumpama mati jahiliyah.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Sejajar dengan ini ialah hadits yang bermaksud:
“Hendaklah kau bersama jemaah orang-orang Islam dan pemimpin mereka.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Ibn Hajar meriwayat At-Tabari berkata:
“Yang benar berkaitan khabar wajib melazimi jemaah ialah taat kepada siapa yang telah disepakati oleh umat Islam atas kepimpinannya. Siapa yang membatalkan bai`ahnya, maka dia telah keluar dari jemaah.”

Dengan memahami apa yang dinyatakan di atas, maka pengertian jemaah tidak merujuk kepada satu kumpulan Islam dalam erti kata sebuah harakah atau organisasi atau perkumpulan yang rasmi atau tidak. Maka menganggap kumpulan sedemikian sebagai jemaah yang wajib disertai dan meninggalkannya adalah dosa dan kufur yang mengakibatkan mati jahiliyah, adalah satu pandangan yang menyeleweng dan melampau. Jemaah yang terdapat dalam dalil-dalil yang dinyatakan merujuk kepada persoalan prinsip beragama yang wajib bagi seorang Muslim untuk bersama dan berpegang dengannya sedangkan jemaah dalam erti sebuah gerakan Islam hanyalah satu wasilah bagi dakwah. Masyarakat Islam boleh memilih mana-mana dari jemaah ini untuk menunaikan tanggungjawab dakwah secara jama`ii. Ia boleh memilih jemaah berkenaan atas dasar bahawa ia adalah jemaah yang terdekat kepada kebenaran tetapi dia tidak boleh mendakwa bahawa hanya jemaah dia adalah yang benar dan jemaah lain adalah sesat.


No comments:

Post a Comment