Thursday, 23 February 2012

Khutbah Jumaat [BAHAYA YAHUDI] - 24 Februari 2012

Assalammualaikum wbt. InsyaAllah, pada minggu ini, khutbah yang bertajuk BAHAYA YAHUDI akan  disampaikan di Masjid Ar-Rahman. Untuk pengetahuan jemaah sekalian, teks khutbah jumaat boleh disemak melalui laman sesawang Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) atau klik link Teks Khutbah - BAHAYA YAHUDI. Syukran Jazilan



Surah al-Maidah ayat 82 yang bermaksud: 

“Demi Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) akan dapati manusia Yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang Yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik.”



Antara matlamat utama yang ditetapkan oleh orang-orang Yahudi berkaitan sikap mereka terhadap Umat Islam seperti berikut:-

Pertama   :   Berusaha memesongkan akidah dan keimanan Umat Islam daripada ke arah kekufuran.

Kedua      :   Menidakkan hak Umat Islam dari memegang tampuk kepimpinan dunia.

Ketiga      :   Menguasai beberapa buah Negara Umat Islam yang mempunyai nilai kekayaan tinggi untuk diekploitasikan. 

Majlis Sambutan Maulidur Rasul


Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Ar-Rahman 


Tarikh :  24 Februari 2012 (Jumaat)
Masa :   12.30 tengah hari



Semua dijemput hadir bersama-sama dalam menunjukkan rasa kasih dan sayangnya kita kepada Rasulullah s.a.w. InsyaAllah, tazkirah akan disampaikan oleh Y.Bhg Ustaz Shazly Abdullah dan selepas Solat Jumaat kita akan berselawat bersama-sama dengan kumpulan selawat jemputan iaitu Kumpulan In-Team, Al-Mawlid, Marjan & Rakan Munsyid..

Monday, 30 January 2012

Qiammulail Perdana sempena Sambutan Maulidur Rasul 1433H




Mengapa kena bangun malam? Mengapa kena qiamullail dan bertahajud? Bukankah Allah jadikan siang untuk manusia bekerja dan bertebaran di atas muka bumi, malam pula Allah jadikan masa untuk berehat, bukankah lebih baik kalau tidur?
Rasulullah S.A.W jadikan solat itu sebagai kerehatan. Rasulullah S.A.W pernah mengajak Bilal, “Mari kita berehat dengan solat, wahai Bilal”. (HR at-Tabrani & Haitsami). Jadi sebenarnya solat malam juga merupakan sebuah kerehatan.
Jika dikaji dari sudut saintifik pula, otak kita mempunyai beberapa gelombang; alpha, beta, theta dan delta. Paras alpha merupakan paras seseorang dapat berhubung dengan minda bawah sedar dengan aktif. Aktiviti minda pada ketika ini dalam keadaan tenang, santai dan rehat. Frekuensi otak pada paras alpha pula berada dalam lingkugan 7 hingga 14 kitaran persaat. Singkat bukan? Tapi, paras alpha boleh dicapai dengan menurunkan secara sengaja frekuensi otak ke tahap yang lebih rendah. Rahsianya ialah dengan qiamullail. Itu hanya dari sudut saintifik. Jika dilihat dari sudut rohani dan maknawi lebih besar lagi impaknya.
Seperti yang kita tahu, Rasulullah S.A.W sering melazimi solat malam sehingga kedua-dua tapak kaki baginda pecah. Salahuddin Al-Ayubi pula meletakkan tentera yang tidak meninggalkan qiamullail di barisan paling hadapan untuk menggempur musuh. Sultan Muhammad Al-Fateh yang Rasulullah sebutkan sebagai sebaik-baik pemimpin, tidak pernah meninggalkan qiamullail.
Apakah kelebihannya? Mengapakah mereka melazimi qiamullail? Pastinya rahsia kekuatan dan kebangkitan ummah terkandung dalam qiamullail itu sendiri.
Allah juga menyebutkan tentang hambaNya yang rajin bersolat malam, maksudnya;
Orang-orang yang bertaqwa itu sedikit sekali tidurnya di waktu malam. Di waktu menjelang fajar pagi, mereka itu berdoa memohonkan pengampunan dan dari sebahagian hartanya dijadikan hak yang diberikan pada yang meminta dan yang kekurangan.” [Surah Az-Dzaariyaat: 17-19]
Firman Allah lagi:
“Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdo’a kepada Rabb-nya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata, sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” [As-Sajdah: 16-17
Solat malam membina ruh. kekuatan dan taqwa. Qiamullail mengajak kita meninggalkan kenikmatan tidur yang sementara untuk mendapatkan kenikmatan di syurga yang kekal selamanya. Bukan mudah untuk bangun malam sebenarnya.
Sedikit petua daripada Imam Al-Ghazali untuk mudah bangun malam;
1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut. Jangan makan terlalu kenyang kerana akan meyukarkan kita untuk bangun.
2. Jangan tinggalkan tidur qailulah di siang hari.
3. Mengetahui dan menginsafi keutamaan solat malam dengan mentadabbur selalu Al-Qur’an dan hadith serta kisah-kisah salafussoleh berkenaan dengan bangun malam.
4. Meningkatkan rasa cinta yang sebenar-benarnya kepada Allah. Bersihkanlah diri dan hati daripada unsur-unsur syirik baik yang nyata atau yang tersembunyi, dan peliharalah ibadah sebelumnya, sesungguhnya seseorang yang berat beban dosanya dari amalan yang dilakukan sebelum tidurnya itu pasti memberatkannya untuk bangkit berkhalwah dengan Allah yang Maha Suci di malam hari.
Mari bersama kita tingkatkan prestasi di siang hari dengan mengerjakan solat di malam hari. Sentiasa menetapkan niat dan berazam untuk menghidupkan malam setiap hari.
Mudah-mudahan Ramadhan yang masih berbaki ini sentiasa dipenuhi dengan qiamullail. Dan juga kita dapat meneruskan ibadah yang agung ini selepas berlalunya Ramadhan sebagaimana kita menghidupkan malam-malam dengan penuh semangat di bulan Ramadhan.

Sumber : Laman Web ISMA Mesir

Tazkirah Maulidur Rasul dan & Aqidah Ahlussunnah Wal Jama'ah bersama Dr Syeikh Salim'Alwan Al-Husainiy, Mufti Darul Fatwa Australia & Tokoh Ulama' Berketurunan Nabi



Tazkirah Maulidur Rasul dan & Aqidah Ahlussunnah Wal Jama'ah bersama Dr Syeikh Salim'Alwan Al-Husainiy,       Mufti Darul Fatwa Australia & Tokoh Ulama' Berketurunann Nabi. Pada Hari Rabu (01 Februari 2012) pukul 12.45 - 01.45 petang (Sebelum Zohor).. Anda semua dijemput hadir bersama-sama...

Majlis Bacaan Yassin sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan

Thursday, 26 January 2012

Khutbah Jumaat [RAKYAT BERSATU WILAYAH PERSEKUTUAN MAJU] - 27 Januari 2012 bersamaan 3 Rabiulawal 1433H

Assalammualaikum wbt. Alhamdulillah, pada minggu ini masuk lah minggu yang keempat bagi tahun 2012. InsyaAllah, pada minggu ini, khutbah yang bertajuk RAKYAT BERSATU WILAYAH PERSEKUTUAN MAJU akan  disampaikan di Masjid Ar-Rahman. Untuk pengetahuan jemaah sekalian, teks khutbah jumaat boleh disemak melalui laman sesawang Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) atau klik link Teks Khutbah - RAKYAT BERSATU WILAYAH PERSEKUTUAN MAJU. Syukran Jazilan. 



Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah adalah seperti berikut:


  • Pertama:  Perpaduan adalah asas rahmat dan kasih sayang Allah SWT kepada hambaNya.
  • Kedua :  Kemajuan masyarakat amat berkait rapat dengan perpaduan yang dijalin erat atas prinsip agama yang suci
  • Ketiga :  Islam adalah agama yang memberikan role model terbaik terhadap kehidupan bernegara dan bermasyarakat.



      Thursday, 19 January 2012

      Khutbah Jumaat [USRAH SAKINAH] - 20 Januari 2012 bersamaan 26 Safar 1433H

      Assalammualaikum wbt. Alhamdulillah, pada minggu ini masuk lah minggu yang ketiga bagi tahun 2012. InsyaAllah, pada minggu ini, khutbah yang bertajuk Usrah Sakinah akan  disampaikan di Masjid Ar-Rahman. Untuk pengetahuan jemaah sekalian, teks khutbah jumaat boleh disemak melalui laman sesawang Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) atau klik link Teks Khutbah - USRAH SAKINAH. Syukran Jazilan.


      Antara isi kandungan Khutbah Jumaat pada minggu ini ialah :
      1- Pembentukan sebuah negara yang maju dan harmoni bukanlah satu cita-cita yang boleh dianggap remeh dan hanya boleh diusahakan oleh sesetengah pihak sahaja. Negara yang maju dan harmoni bermula dari kelompok masyarakat yang berintegriti, berilmu dan harmoni.

      2- Hari-hari yang kita lalui mempamerkan keadaan masyarakat yang cantik di luar tetapi penuh dengan virus dan penyakit di dalamnya. Pelbagai masalah sosial dan akhlak seperti penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, pengabaian terhadap warga tua, wanita, kanak-kanak dan bayi yang tidak berdosa dipelopori oleh masyarakat Islam.

      3- Asas kepada permasalahan ini ialah pembentukan sesebuah keluarga itu sendiri yang terdiri daripada suami dan isteri yang sah serta anakanak yang lahir hasil perkongsian hidup. Ramai yang ingin berkahwin tetapi ramai juga yang lupa kepada hikmah perkahwinan yang menjadi sunnah baginda SAW itu sendiri.

      4-  Daripada Surah Ar-Ruum ayat 21, Allah SWT dengan sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang, menjadikan daripada ikatan perkahwinan yang sah itu perasaan kasih sayang dan kasihan belas, agar kita mendapat ketenangan daripada perkongsian hidup suami dan isteri, maka akan terserlah sebuah  'Usrah Sakinah' di bawah payung kasih Allah SWT.

      5- Antara faktor yang membawa kepada runtuhnya keluarga yang dibina dan permasalahan  sosial yang semakin membimbangkan ialah:
      • Pertama: Niat yang lari daripada tujuan sebenar perkahwinan.
      • Kedua: Putusnya hubungan kehambaan kepada Allah SWT
      • Ketiga: Gagal mencontohi keluarga junjungan Nabi Muhammad SAW
      6-  Yakinlah bahawa mencontohi cara kehidupan Baginda SAW tidak akan membawa sebarang kerugian, bahkan akan membawa seribu satu keberkatan dalam setiap pekerjaan kita, terutama sekali keberkatan dan ketenangan hidup bersama keluarga kita. Dunia hari ini tanpa sempadan. Islam adalah penyelesaian bagi menentukan baik atau buruknya sesuatu perkara itu

      7- Raikanlah dan tunaikan hak-hak kewajipan sebagai suami dan isteri dengan sebaiknya, suami jangan sesekali bertindak kasar terhadap isteri dan isteri wajib menjaga maruah dan taat kepada suami dalam apa jua 4 situasi selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam.

      8- Ibubapa hendaklah menjadikan tarbiyah anak-anak sebagai keutamaan. Bukan sahaja keperluan asas yang dititik beratkan bahkan ajaran agama, pengajian Al-Quran, Hadis, Aqidah, Feqah, Akhlak dan sebagainya wajib dipelajari sehingga diamalkan, barulah usaha mendidik anak-anak dikira berjaya disisi Allah SWT

      9- Bagi anak-anak pula, merka pewaris agama, bangsa dan negara. Taatilah ibu dan bapa, hormatilah mereka, kenangkanlah kesusahan ibu mengandungkan kamu 9 bulan, bayangkanlah kepayahan ayah berusaha keras bekerja siang dan malam mendapatkan rezeki buat kamu.

      10- Tunaikanlah solat apabila sampai waktunya, jangan leka dan malas mendirikan solat, berbaktilah kepada ibubapa dan kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihi kamu ketika kamu kecil.

      11- Kesimpulan yang dapat dijadikan pengajaran pada hari ini adalah:
      • Pertama: Keluarga adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada kita.
      • Kedua:  Kebahagiaan sesebuah rumah tangga berkait rapat dengan perlaksanaan setiap suruhan Allah SWT
      • Ketiga:   Pembinaan Usrah Sakinah mestilah ditunjangi ajaran alquran dan Al-Sunnah.

      Thursday, 12 January 2012

      Khutbah Jumaat - 13 Januari 2012 bersamaan 19 Safar 1433H


      Assalammualaikum wbt. Alhamdulillah, pada minggu ini masuk lah minggu yang kedua bagi tahun 2012. InsyaAllah, pada minggu ini, khutbah yang bertajuk Jerat Kehidupan akan disampaikan di Masjid Ar-Rahman. Untuk pengetahuan jemaah sekalian, teks khutbah jumaat boleh disemak melalui laman sesawang Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) atau klik link Teks Khutbah - Jerat Kehidupan. Syukran Jazilan.


      Antara isi kandungan Khutbah Jumaat pada minggu ini ialah :-

      Mengapakah manusia lari daripada hidayah Allah, dan mengejar kegelapan Syirik, Khurafat dan Tahyul? Masalah ini berpunca daripada tiga faktor utama iaitu:

      Pertama: Kurang dan hilang keyakinan kepada Allah SWT.
      Kedua: Hilang keyakinan pada janji Syurga dan Neraka.
      Ketiga: Rapuh dan goyahnya ikatan ukhuwah sesama muslim.

      Kesan pergantungan manusia kepada perkara yang menjerat kehidupan ini seperti perbuatan syirik, mempercayai perkara-perkara khurafat dan tahyul tidak akan memberi apa-apa kebaikan dan manfaat, bahkan mengakibatkan mudarat yang berterusan sehingga merosakkan masa depan keturunan kita. 

      Antara kesan tersebut ialah merosakkan akidah Islam yang suci, lenyap sikap berusaha dan menyebabkan manusia mudah putus  asa serta merosakkan peranan media massa sebagai saluran penyampaian ilmu yang amat berkesan.

      Sesuatu tindakan perlu dilakukan bagi membendung segala perkara berunsur syirik, khurafat dan tahyul dari terus menjadi virus kepada umat Islam hari ini dan masa depan. Antara usaha yang boleh kita tingkatkan ialah menggiatkan usaha dakwah melalui majlis-majlis ilmu dan program-program yang berpaksikan Al-Quran dan Al-Sunnah kepada segenap lapisan masyarakat. 

      Selain daripada itu, penegasan dan penguatkuasaan undang-undang perlu diaktifkan bagi mengawal segala unsur yang boleh membawa kepada syirik, khurafat dan tahyul. Walau seberat mana pun hukuman yang diberi, tanpa penguatkuasaan yang telus hanya  akan mengakibatkan undang-undang itu seperti  'harimau yang gagah di dalam sangkar berkunci'. 

      Akhir sekali ialah, mempromosikan lagi cara kehidupan Baginda SAWsebagai qudwah hasanah dan menjadi ikutan umatnya, bukan hanya pada nama, atau pada waktu-waktu tertentu sahaja dipromosikan ketokohan Baginda SAW.

      Kesimpulan yang dapat diambil melalui khutbah pada hari ini adalah: 
      Pertama : Penyakit syirik, kepercayaan khurafat dan tahyul di dalam masyarakat kita perlu dipandang berat, bukan perkara yang boleh dijual beli dan dianggap ringan. 
      Kedua : Berusahalah untuk kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai pedoman dan pegangan dalam kehidupan kita seharian. 
      Ketiga : Setiap muslim bertanggungjawab menjaga akidah dan kesucian agama Islam bagi menjamin kesejahteraan masyarakat kita hari ini dan akan datang.


      Wednesday, 11 January 2012

      Jemaah Dalam Islam


      Para ulama telah mengertikan jemaah dalam dalil-dalil syara’ dengan beberapa erti berikut:

      a. Ia bermaksud masyarakat Islam yang ramai (As-Sawad Al-A`azam).
      b. Ia bermaksud para ulama mujtahidin.
                     
      Allah taala menjamin bahawa para ulama Islam tidak akan sama sekali bersepakat dalam kesesatan.
      Ini adalah pandangan Imam Al-Bukhari dan ramai ulama Usul dan Salaf. Imam Al-Bukhari menulis satu tajuk dari bab di dalam bukunya;

      “Bab ‘dan demikian itu kami jadikan kamu satu umat pertengahan’ dan apa yang diperintahkan oleh Nabi s.a.w untuk melazimi jemaah, iaitu ahli ilmu”

      At-Turmuzi berkata;
      “Dan tafsir jemaah di sisi ahli ilmu ialah ahli fiqh, ilmu pengetahuan dan hadits.”

      Al-Kirmani berkata;
      “Ketentuan perkara dalam melazimi jemaah ialah wajib bagi seorang mukallaf untuk mengikuti apa yang telah diijma’ oleh para mujtahidin.”

      c.  Ia bermaksud para Sahabat secara khusus.
      d. Ia bermaksud jemaah orang Islam dibawah kepimpinan seorang pemimpin.
      Ia merujuk kepada sekumpulan masyarakat Islam yang apabila telah bersetuju untuk berada dibawah satu kepimpinan politik dalam sebuah negara atau pemerintahan. Maka tidak boleh berlepas diri dari taat setia (bai`ah) yang diberikan kepada pemimpin itu.

      e. Ia bermaksud jemaah umat Islam keseluruhannya (Ahl Al-Islam).
      Maka yang dimaksudkan di sini ialah bersama dengan umat Islam dalam anutan agamanya, tidak berjemaah bermaksud tidak menganut Islam dan meninggalkan berjemaah bermaksud murtad dari agama.

      Apabila dinilai pandangan para ulama mengenai jemaah maka dapat disimpulkan erti jemaah merujuk kepada:
      Jemaah dalam erti satu struktur politik iaitu apabila satu masyarakat Islam yang telah   bersepakat ke atas satu kepimpinan dan pemerintahan.Mereka telah bersetuju untuk memberi taat setia (bai`ah) kepadanya. Jemaah ini boleh dalam satu masa hilang dan tidak wujud. Termasuk di sini ini ialah kuasa politik Islam di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w semasa hidupnya dan sebuah negara Islam.

      Hakikat ini dapat dilihat dari hadits yang bermaksud: 
      “Sesiapa yang melihat sesuatu yang dibenci dari pemimpinnya, hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang keluar dari jemaah sejengkal maka matinya seumpama mati jahiliyah.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

      Sejajar dengan ini ialah hadits yang bermaksud:
      “Hendaklah kau bersama jemaah orang-orang Islam dan pemimpin mereka.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

      Ibn Hajar meriwayat At-Tabari berkata:
      “Yang benar berkaitan khabar wajib melazimi jemaah ialah taat kepada siapa yang telah disepakati oleh umat Islam atas kepimpinannya. Siapa yang membatalkan bai`ahnya, maka dia telah keluar dari jemaah.”

      Dengan memahami apa yang dinyatakan di atas, maka pengertian jemaah tidak merujuk kepada satu kumpulan Islam dalam erti kata sebuah harakah atau organisasi atau perkumpulan yang rasmi atau tidak. Maka menganggap kumpulan sedemikian sebagai jemaah yang wajib disertai dan meninggalkannya adalah dosa dan kufur yang mengakibatkan mati jahiliyah, adalah satu pandangan yang menyeleweng dan melampau. Jemaah yang terdapat dalam dalil-dalil yang dinyatakan merujuk kepada persoalan prinsip beragama yang wajib bagi seorang Muslim untuk bersama dan berpegang dengannya sedangkan jemaah dalam erti sebuah gerakan Islam hanyalah satu wasilah bagi dakwah. Masyarakat Islam boleh memilih mana-mana dari jemaah ini untuk menunaikan tanggungjawab dakwah secara jama`ii. Ia boleh memilih jemaah berkenaan atas dasar bahawa ia adalah jemaah yang terdekat kepada kebenaran tetapi dia tidak boleh mendakwa bahawa hanya jemaah dia adalah yang benar dan jemaah lain adalah sesat.


      Wednesday, 4 January 2012

      Majlis Bacaan Yassin


      Semua dijemput hadir ke Majlis Bacaan Yassin yang akan diadakan mengikut ketetapan berikut:-

      Tarikh: 05 Januari 2012 (Khamis)
      Masa : Selepas Solat Maghrib
      Tempat : Masjid Ar-Rahman, Jalan Pantai Baru

      Kehadiran anda semua amatlah dialu-alukan bagi mengimarahkan lagi Masjid Ar-Rahman. InsyaAllah, jamuan ringan akan disediakan. Syukran.



      Monday, 2 January 2012

      BENARKAH TINDAKAN INI?????????

      Selepas lebih tiga puluh tahun, hari ini Jawatankuasa Masjid ArRahman Jalan Pantai Baru mengambil tindakan menghentikan semua ceramah agama yang telah dilaksanakan oleh ‘kumpulan’ yang memanggil diri mereka sebagai ‘JK jemaah’.

      Selaku pelajar di Universiti Malaya, saya sering solat berjemaah di Masjid ini.  Ada masanya saya juga mengikuti ceramah-ceramah agama yang dijalankan.  Pasti lah penceramah ini didatangkan oleh pihak yang mengakui diri mereka JK jemaah.

      JK jemaah ini nampaknya tidak suka dengan langkah ini dan telah mula mempersoalkan hak-hak mereka dan mula membuat kenyataan seperti JK Masjid menutup majlis ilmu, menentang ulama dan langsung mengadakan solat hajat memohon Allah menurunkan bala dan menjahanamkan pihak JK Masjid.

      Untuk kepastian, saya telah menemui Pengerusi JK Masjid mendapatkan jawapan kepada beberapa persoalan.  Datuk Ibrahim Thambychik tenang menjawab soalan-soalan saya.

      Soalan:  Sejak bila Datuk dan JK Masjid ini dilantik menggantikan Jawatankuasa yang lama?

      Datuk Ibrahim:  Jawatankuasa ini dilantik oleh Ketua Agama Wilayah Persekutuan iaitu KDYMM SPB Yang Di Pertuan Agong kira-kira tiga bulan yang lalu.  Tugas utama kami ialah memastikan usaha menegakkan syiar Islam dengan memantapkan lagi pengurusan masjid dan pengimarahan nya.

      Soalan:  Apa yang sudah dilakukan dalam tempuh 3 bulan perlantikan ini?

      Datuk Ibrahim:  Dalam tempuh tersebut kami meneliti semua sudut seperti tugas, tanggungjawab dan peranan Jawatankuasa dan kakitangan masjid disemua peringkat, ceramah-ceramah di masjid ini, pembabitan masyarakat dalam aktibiti-aktibiti masjid dan penyertaan pelajar-pelajar secara berfaedah.

      Disamping itu kami sudah melakukan muzakarah dengan semua kakitangan dan juga pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘JK Jamaah’.  Dua kali muzakarah seperti ini kami jalankan.

      Soalan:  Apa yang Datuk harapkan dari muzakarah tersebut?

      Datuk Ibrahim:  Mula-mula saya ingin menyatakan dari pemerhatian JK Masjid, teman-teman di Universiti Malaya dan anak-anak qariah dari Vista Angkasa, Flat 17 Tingkat dan Flat Kolam Air; jelas terbukti bahawa ceramah, tazkirah, dan kulliyah yang dijalankan oleh pihak-pihak ini semua nya berbaur politik.  Mereka mengajar tajweed tapi jamaah disogok dengan kata nista kepada jamaah tertentu, pemimpin tertentu dan Kerajaan.  Mereka berceramah tentang sirah Rasul tetapi mencerita keburukan orang lain khususnya pemimpin tertentu.  Tetapi peliknya perbuatan mungkar seperti salah laku moral, pihak komunis yang mengancam keselamatan negara dan membunuh askar, polis dan AC yang rata-rata terdiri dari kalangan orang Melayu mereka puja.

      Lebih malang lagi apabila mereka mengiktiraf diri penceramah-penceramah mereka sebagai pewaris Nabi berdasarkan hadis bahawa ulama’ adalah pewaris Nabi.  Matlamat mereka ialah supaya Jamaah menerima apa saja yang mereka sogokan kerana taraf mereka adalah pewaris Nabi.  Soal nya disini ialah apakah jenis ulamak yang mencaci cerca, memburuk-buruk dan menabur fitnah mempunyai status pewaris Nabi.  Apakah seseorang yang baru berjubah, berserban dan menghafal lima enam potong ayat quran layak di panggil ulamak.  Apakah taraf ulamak ini boleh di cipta begitu sahaja mengikut matlamat dan selera mereka sesedap rasa?

      Seterusnya mereka ini semuanya tidak bertauliah.  Di Selangor mereka patuh. Kenapa di Wilayah mereka ingkar?  Sebenar nya kita tidak mahu terlalu cerewet tentah tauliah.  Tetapi pada waktu sama kami mahu memastikan ajaran yang disampaikan bukan dari ulamak tiruan atau ulamak Ajinomoto.  Kita juga tidak mahu melihat aqidah umat Islam di perjudikan dengan ajaran-ajaran songsang.  Begitu juga kita tidak mahu masjid digunakan sebagai gelanggang politik. 

      Jadikanlah masjid sebagai medan menimba ilmu, merapatkan ukhuwwah dan menyatupadukan umat Islam.  Kekuatan kita umat Islam semakin tercabar.  Kealpaan kita akan menghanyutkan agama dan bangsa di bumi ini.

      Soalan:  Tentang muzakarah tadi?

      Datuk Ibrahim:  Saya kesal dengan nawaitu yang baik, yang mereka akui sebagai Jawatankuasa yang baik kerana sudi berbincang dengan mereka, tidak mereka hargai. Mereka meneruskan cara mereka tanpa segan silu walau pun mereka bukan Jawatankuasa yang diperakukan.

      Soalan:  Kenapa sekarang baru bertindak?

      Datuk Ibrahim:  Kerana JK yang tolerance.  Jadi pihak ini mengambil kesempatan diatas kebaikan hati orang lain. 

      Mereka memberi alasan mereka adalah Jawatankuasa tahun lapan puluhan dan sembilan puluhan dahulu.  Oleh itu mereka ada tanggungjawab!  Jawapan saya mudah.  Lihat pengerusi lama.  Beliau tidak ganggu saya.  Malah saya juga berjanji bila saya berhenti nanti, saya tidak akan mengganggu Jawatankuasa yang baru.  Peliknya mereka sudah bersara duapuluh tigapuluh tahun dulu masih nak duduk atas meja yang orang lain bertugas! Kenapa?  Apakah niat dan apakah matlamat mereka?

      Beri lah peluang untuk Jawatankuasa yang baru ini bertugas.  Kita pun sangat terbuka untuk menerima sebarang teguran.

      Tentang solat hajat yang mereka adakan, saya tidak akan melarang.  Sebagai orang pandai agama, mereka pasti lebih arif.  Jangan kita berlari dipadang orang, berjingkit di kebun sendiri.

      Teguran dengan niat yang baik, insyaAllah akan membawa faedah yang juga baik.  Tindakan yang diambil Adalah Benar.

      Terima kasih.

      1 Januari 2012

      Thursday, 24 November 2011

      Program UM Berselawat sempena Maal Hijrah 1433H




      Semua hadirin dan hadirat dijemput hadir dalam menjayakan Program UM Berselawat sempena Sambutan Maal Hijrah 1433H.

      Tarikh : 26 November 2011
      Tempat :  Masjid Ar-Rahman, Jalan Pantai Baru

      Kem Anak Soleh @ Masjid Ar-Rahman

       Alhamdulillah.... Syukur kehadrat Illahi dengan limpah kurnianya, Kem Anak Soleh telah berakhir dengan jayanya pada 20 November 2011. Kem ini telah dianjurkan oleh Masjid Ar-Rahman selama 3 hari 2 malam bermula 18 - 20 November 2011 yang telah disertai oleh seramai 98 orang peserta yang berumur 8 - 16 tahun. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah latihan dalam kumpulan (LDK), tazkirah, riadah bermodul, ceramah dan pelbagai lagi aktiviti yang menguji daya pemikiran dan ketahanan fizikal serta mental. Fasilitator yang bertauliah dari Institut Bahasa telah bersama-sama para peserta selama 3 hari 2 malam dalam berkongsi segala-galanya. Alhamdulillah, Kem Anak Soleh ini telah ditutup dengan rasminya oleh En. Mohd Azuz B Dato' Haji Razak.


       Tuan Haji Jef Hazimin sedang menyampaikan tazkirah Asar kepada para peserta

      Aktiviti riadah bermodul yang telah dijalankan oleh para peserta Kem Anak Soleh

       Riak wajah yang riang gembira jelas terpancar di wajah peserta-peserta Kem Anak Soleh


      Fasilitator-fasilitator yang terlatih dari Institut Bahasa 

       Idea-idea yang kreatif yang telah dilakukan dalam menguji daya pemikiran para peserta

      Sepintas lalu Majlis Perasmian Penutup Kem Anak Soleh

      Monday, 14 November 2011

      Kem Cuti Sekolah di Masjid Ar-Rahman

       

      Cuti sekolah dah bermula.....!!!! Bagaimanakah anak-anak anda mengisi masa cuti sekolah mereka...? Adakah dengan aktiviti  - aktiviti yang berfaedah atau sebaliknya...? Sehubungan itu, Masjid Ar-Rahman dengan rasa tanggungjawabnya akan menganjurkan KEM CUTI SEKOLAH selama 3 hari 2 malam yang menjanjikan pelbagai aktiviti yang menarik yang dapat memantapkan peribadi dan sahsiah diri... InsyaAllah.. Penyertaan adalah terhad kepada 100 peserta yang terawal sahaja.... Daftarlah dengan segera.. Pelbagai aktiviti menarik menanti anda semua....!!

      KEM CUTI SEKOLAH @ MASJID AR-RAHMAN

      Tarikh: 18- 20 NOVEMBER 2011
      Tempat: MASJID AR-RAHMAN, UM
      Bayaran: RM 30 seorang

      * Sebarang kemusykilan, sila hubungi: Hafiz -0173874449


      Tuesday, 1 November 2011

      SOLAT AIDIL ADHA 6 NOVEMBER AHAD

      1.Solat Aidil Adha-6 November, Hari Ahad, jam 8.30 pagi.

      2.Akan diketuai oleh Yang Berbahagia Ketua Imam kita iaitu Ustaz Mohd Akmal Abdul Aziz

      3.Marilah kita hadir awal untuk sama-sama bertakbir, bertahmid dan bertasbih memuji keagongan-Nya.

      4.Aktiviti Korban bermula jam 9.30 pagi sehingga 1 tengahari, semua dijemput hadir

      AIDIL ADHA HARI BAHAGIA, 
      PENGORBANAN INSAN BERHATI MULIA
      MENJADI TELADAN BUAT SEMUA
      AGAR MENJADI UMAT BERGUNA


      'Selamat Menyambut Hari Raya Korban' buat semua pengunjung blog yang dihormati:)

      MAKLUMAN: JAWATANKUASA TERKINI

      Untuk makluman semua jemaah, mengikut minit mesyuarat bertarikh 24 Oktober 2011. Bil 1/Oktober/2011 bertempat di Dewan Syura Perdana,Tingkat 11,Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, berikut adalah senarai jawatankuasa terkini.

      Pengerusi                      :           Datuk Ibrahim Tamby Chik
                  Timbalan Pengerusi       :           Tuan Haji Fadzil Ibrahim
                  Setiausaha                    :           Tuan Haji Jef Hazimin Jaafar
                  Bendahari                     :           Encik Ahmad Nizam bin Mohd Yussoff
                  AJK                             :           Tuan Haji Ismail Masri
                                                                  Encik Razali Mahadi
                                                                  Tuan Razak bin Puasa
                                                                  Encik Ramlan bin Abbas
                                                                  Encik Azuz Dato’ Hj Abdul Razak
                                                                  Sdr Lokman bin Madtasi
      Ustaz Mohd Akmal Abdul Aziz 
      (Ketua Imam)
                                                                              Ustaz Mohd Khairulazwadi bin Abd Wafoor
      (Imam)                     
      Semoga dengan doa restu, idea dan sokongan tuan-tuan dan puan-puan sekelian, InsyaAllah sama-sama kita berganding bahu mengimarahkan masjid yang kita cintai ini dengan program-program yang kreatif, inovatif dan progresif.