Thursday, 24 November 2011

Program UM Berselawat sempena Maal Hijrah 1433H




Semua hadirin dan hadirat dijemput hadir dalam menjayakan Program UM Berselawat sempena Sambutan Maal Hijrah 1433H.

Tarikh : 26 November 2011
Tempat :  Masjid Ar-Rahman, Jalan Pantai Baru

Kem Anak Soleh @ Masjid Ar-Rahman

 Alhamdulillah.... Syukur kehadrat Illahi dengan limpah kurnianya, Kem Anak Soleh telah berakhir dengan jayanya pada 20 November 2011. Kem ini telah dianjurkan oleh Masjid Ar-Rahman selama 3 hari 2 malam bermula 18 - 20 November 2011 yang telah disertai oleh seramai 98 orang peserta yang berumur 8 - 16 tahun. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah latihan dalam kumpulan (LDK), tazkirah, riadah bermodul, ceramah dan pelbagai lagi aktiviti yang menguji daya pemikiran dan ketahanan fizikal serta mental. Fasilitator yang bertauliah dari Institut Bahasa telah bersama-sama para peserta selama 3 hari 2 malam dalam berkongsi segala-galanya. Alhamdulillah, Kem Anak Soleh ini telah ditutup dengan rasminya oleh En. Mohd Azuz B Dato' Haji Razak.


 Tuan Haji Jef Hazimin sedang menyampaikan tazkirah Asar kepada para peserta

Aktiviti riadah bermodul yang telah dijalankan oleh para peserta Kem Anak Soleh

 Riak wajah yang riang gembira jelas terpancar di wajah peserta-peserta Kem Anak Soleh


Fasilitator-fasilitator yang terlatih dari Institut Bahasa 

 Idea-idea yang kreatif yang telah dilakukan dalam menguji daya pemikiran para peserta

Sepintas lalu Majlis Perasmian Penutup Kem Anak Soleh

Monday, 14 November 2011

Kem Cuti Sekolah di Masjid Ar-Rahman

 

Cuti sekolah dah bermula.....!!!! Bagaimanakah anak-anak anda mengisi masa cuti sekolah mereka...? Adakah dengan aktiviti  - aktiviti yang berfaedah atau sebaliknya...? Sehubungan itu, Masjid Ar-Rahman dengan rasa tanggungjawabnya akan menganjurkan KEM CUTI SEKOLAH selama 3 hari 2 malam yang menjanjikan pelbagai aktiviti yang menarik yang dapat memantapkan peribadi dan sahsiah diri... InsyaAllah.. Penyertaan adalah terhad kepada 100 peserta yang terawal sahaja.... Daftarlah dengan segera.. Pelbagai aktiviti menarik menanti anda semua....!!

KEM CUTI SEKOLAH @ MASJID AR-RAHMAN

Tarikh: 18- 20 NOVEMBER 2011
Tempat: MASJID AR-RAHMAN, UM
Bayaran: RM 30 seorang

* Sebarang kemusykilan, sila hubungi: Hafiz -0173874449


Tuesday, 1 November 2011

SOLAT AIDIL ADHA 6 NOVEMBER AHAD

1.Solat Aidil Adha-6 November, Hari Ahad, jam 8.30 pagi.

2.Akan diketuai oleh Yang Berbahagia Ketua Imam kita iaitu Ustaz Mohd Akmal Abdul Aziz

3.Marilah kita hadir awal untuk sama-sama bertakbir, bertahmid dan bertasbih memuji keagongan-Nya.

4.Aktiviti Korban bermula jam 9.30 pagi sehingga 1 tengahari, semua dijemput hadir

AIDIL ADHA HARI BAHAGIA, 
PENGORBANAN INSAN BERHATI MULIA
MENJADI TELADAN BUAT SEMUA
AGAR MENJADI UMAT BERGUNA


'Selamat Menyambut Hari Raya Korban' buat semua pengunjung blog yang dihormati:)

MAKLUMAN: JAWATANKUASA TERKINI

Untuk makluman semua jemaah, mengikut minit mesyuarat bertarikh 24 Oktober 2011. Bil 1/Oktober/2011 bertempat di Dewan Syura Perdana,Tingkat 11,Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, berikut adalah senarai jawatankuasa terkini.

Pengerusi                      :           Datuk Ibrahim Tamby Chik
            Timbalan Pengerusi       :           Tuan Haji Fadzil Ibrahim
            Setiausaha                    :           Tuan Haji Jef Hazimin Jaafar
            Bendahari                     :           Encik Ahmad Nizam bin Mohd Yussoff
            AJK                             :           Tuan Haji Ismail Masri
                                                            Encik Razali Mahadi
                                                            Tuan Razak bin Puasa
                                                            Encik Ramlan bin Abbas
                                                            Encik Azuz Dato’ Hj Abdul Razak
                                                            Sdr Lokman bin Madtasi
Ustaz Mohd Akmal Abdul Aziz 
(Ketua Imam)
                                                                        Ustaz Mohd Khairulazwadi bin Abd Wafoor
(Imam)                     
Semoga dengan doa restu, idea dan sokongan tuan-tuan dan puan-puan sekelian, InsyaAllah sama-sama kita berganding bahu mengimarahkan masjid yang kita cintai ini dengan program-program yang kreatif, inovatif dan progresif.

Tuesday, 27 September 2011

RAKAMAN TAKBIR IDUL ADHA & MAJLIS MERAIKAN BAKAL HAJI

27 September 2011 adalah tarikh penting yang mencatatkan penghormatan buat Masjid Ar-Rahman kerana dijalankan rakaman Takbir Raya Idul Adha oleh JAKIM dan RTM. Antara yang terlibat ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid Ar-Rahman. Setelah itu, sebuah majlis ringkas bagi meraikan bakal haji bagi Parlimen Lembah Pantai dilangsungkan. Lebih kurang 70 penama menerima sumbangan bernilai RM 300 setiap orang. Sebelum bersurai, jamuan ringkas disediakan bagi semua yang terlibat pada program hari ini.

PROGRAM TAUTAN SILATURRAHIM IDULFITRI ZON 6

25 September 2011 merakamkan berlangsungnya Program Tautan Silaturrahim Idulfitri Masjid-masjid Zon 6 iaitu terdiri daripada Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Masjid Al-Ikhlasiah, Masjid Al-Khadijiah, Masjid Al-Hidayah, Masjid Jamek Tg. Abdul Aziz Shah, Masjid At-Taqwa, Masjid Al-Ghufran dan Masjid Ar-Rahman. Tuan rumah program tersebut kali ini ialah Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Pelbagai menu disediakan seperti Nasi Dagang, Kambing Salai, Laksa dan Mee dan pelbagai lagi. Masjid Ar-Rahman diberi amanah bagi menyediakan menu beraneka buah-buahan. Gerai Masjid Ar-Rahman turut dikunjungi dan diberi pujian oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Thursday, 22 September 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1432 H

Ahli Jawatankuasa, para Imam dan Bilal dan para kakitangan Masjid Ar-Rahman Universiti Malaya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh jemaah Masjid Ar-Rahman khususnya dan kepada seluruh kaum Muslimin dan Muslimat amnya. Bermohon maaflah zahir dan batin sesama kita, mudah-mudahan terhapus segala sengketa dan terjalin mahabbah diantara kita. Semoga Hari Raya kali ini membawa sinar bahagia kepada kita semua.
Sempena dengan Hari Raya Aidilfitri kali ini, Masjid Ar-Rahman dengan penuh kesyukuran menjemput Datuk/Datin/Tuan/Puan dan seluruh jemaah ke Majlis Jamuan Kesyukuran Hari Raya Aidilfitri dan Hari Malaysia seperti berikut :

Tuesday, 9 August 2011

PROJEK SEDAR


Spiritual Enhancement Drug Addiction Rehabilitation (SEDAR) merupakan salah satu projek yang terdapat di Masjid Ar-Rahman. Projek ini dijayakan dengan kerjasama Universiti of Malaya Center for Addiction Sciences (UMCAS). Seramai lebih kurang 40 bekas penagih dadah mendapatkan rawatan susulan dan bekalan Methadon melalui projek ini. Dengan kerja keras pengarahnya, Dr. Rusdi Abd. Rashid, projek ini mendapat sambutan yang baik dan mendapat perhatian delegasi luar negara untuk menjalinkan kerjasama menerusi projek ini. Untuk keterangan lanjut, layari laman web http://umcas.um.edu.my/

Projek SEDAR di Masjid Ar-Rahman


ALBUM AKTIVITI 2011

Forum Perdana Sempena Maulid Ar-Rasul dan Tahun Baru 2011 @ 1 Januari 2011
Figura : Dr. Hasnan Kasan (U.K.M), Ustaz  Ali Yusof (Maahad Tarbiyah Sri Petaling) dan
Ustaz Anuar Hasin (Juara Akademi Al-Quran Musim ke-2)

Kem Motivasi Pelajar & Ibu Bapa @ 12-13 Mac 2011
Figura : Dr. Rozdi Abdul Hamid (AADK)

Kursus Sembelihan Halal @ 4 Jun 2011
Figura : Fasilitator Bahagian Penyelidikan JAWI

Wacana Ilmiah Isra' Mikraj @ 1 Julai 2011
Figura : Prof. Madya Dr. Mohd. Arip Kasmo (U.K.M)

Monday, 30 May 2011

SEJARAH MASJID AR-RAHMAN

Masjid Ar-Rahman yang terdapat di Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur itu mempunyai sorotan sejarahnya yang tersendiri. Penubuhan masjid ini adalah lambang satu pengorbanan dan usaha berterusan penduduk sekitarnya bersama-sama mahasiswa prihatin Universiti Malaya ketika itu.

Menyedari pada ketika itu tidak terdapat sebuah masjid di situ yang berhampiran dengan kediaman penduduk Kampung Kerinchi terutamanya dan mahasiswa Universiti Malaya untuk mereka menjalankan aktiviti keagamaan selain menunaikan kewajipan terutamanya solat Jumaat, maka satu permohonan telah diajukan ke pihak kerajaan dengan hasrat murni meminta didirikan sebuah masjid yang berhampiran dengan kawasan kediaman mereka itu.

Menurut Tan Sri Hanafiah Ahmad (bekas Pengerusi Lembaga Urusan Dan Tabung Haji) yang juga Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) ketika itu, sebuah masjid perlu didirikan di kawasann tersebut (berhampiran universiti kerana tidak ada tempat khusus bagi mahasiswa terutamanya untuk menunaikan solat jemaah terutamanya solat fardhu Jumaat dan juga solat sunat hari raya (bagi mahasiswa yang tidak dapat balik berhari raya). Ini kerana Universiti Malaya ketika itu tidak mempunyai masjidnya sendiri. Menurut beliau lagi, masjid terdekat yang berada kira-kira sebatu setengah (lebih kurang 2.5 km) dari kampus universiti, ditambah pula pada ketika itu kebanyakkan siswa universiti tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk mereka ke sana (masjid berhampiran). Keadaan ini pula ditambah dengan kesukaran untuk mendapatkan perkhidmatan kenderaan awam seperti bas yang terhad ketika itu.

Menyedari keadaan ini, tambah Tan Sri Hanafiah lagi, pihak PMIUM pada tahun 1961 telah mengambil kata sepakat untuk mengesyorkan kepada kerajaan supaya membina sebuah masjid di kawasan universiti. Untuk itu, pihak PMIUM dengan rasa tanggungjawab telah mengirim satu surat permohonan ke Jabatan Perdana Menteri.

Pada mulanya, penduduk kampung telah mencadangkan pembinaan masjid tersebut di belakang bangunan Flat Uda, Kampung Kerinchi (tapak Balai Polis Jalan Pantai sekarang) kerana berhampiran dengan kediaman mereka. Kemudiannya, Tunku Abdul Rahman telah membuat satu cadangan balas agar masjid yang akan dibina itu didirikan di Jalan Pantai Baru di atas tanah kepunyaan Universiti Malaya. Beliau menambah sesungguhnya ia bukan sahaja berhampiran dengan kediaman penduduk di situ, tetapi juga suatu kemudahan kepada para penuntut universiti tersebut untuk turut sama menggunakannya. Cadangan daripada Tunku Abdul Rahman itu telah disambut baik oleh semua pihak.

Tunku Abdul Rahman
Pada tahun 1962, Masjid Ar-Rahman telah mula dibina. Tunku Abdul Rahman telah diberi penghormatan meletakkan batu asas pembinaan masjid itu pada 6 November 1962. Pembinaan masjid ini mengambil masa lebih kurang setahun untuk disiapkan dengan jumlah perbelanjaan kira-kira RM 400.000 (suatu jumlah yang besar pada ketika itu).

Tanggal 23.08.1963, masjid yang mampu menampung sehingga 700 jemaah itu dirasmikan oleh Yang Di-Pertua Agong ketika itu, D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Tuanku Syed Putra Jamalullail. Menurut Tan Sri Hanafiah lagi, “Ketika saat masjid ini dirasmikan, seluruh ahli PMIUM telah menitiskan air mata kerana Masjid Ar-Rahman sekurang-kurangnya menjadi suatu lambang usaha suci mahasiswa ketika itu.” Setelah ia dirasmikan, Tunku Abdul Rahman bersama-sama dengan Prof. Diraja Ungku Aziz telah berbincang dan bersetuju untuk meletakkan pentadbiran Masjid Ar-Rahman di bawah pengurusan pihak Universiti Malaya.

Masjid tersebut bukan sahaja menjadi lambang perpaduan penuntut-penuntut Universiti Malaya, tetapi juga umat Islam sekitarnya termasuklah juga penuntut dari Institut Perguruan Bahasa Melayu (IPBM) yang sekarang menjadi (IPGM) dan juga Institut Perguruan Bahasa-Bahasa Antarabangsa (IPBA) yang terletak bersebelahan. Selain itu, ia juga telah menjadi tumpuan di kalangan kakitangan-kakitangan kerajaan mahupun swasta yang banyak terdapat di situ untuk menunaikan ibadah khususnya solat Jumaat.

Suatu yang istimewa lagi, masjid ini telah menjadi tempat persinggahan di kalangan musafir dari seluruh negara sebelum menuju ke destinasi yang dituju. Ianya juga menjadi tempat persinggahan untuk ibu bapa yang hendak menghantar anak-anak mereka masuk ke Universiti Malaya. Hal ini disebabkan oleh kedudukannya yang begitu strategik dan bersebelahan dengan pintu masuk utama Universiti Malaya dari arah Pantai Baru serta mudah untuk dikunjungi sama ada mereka datang dari utara mahupun selatan. 

Masjid Ar-Rahman ini pada mulanya dikenali sebagai Masjid Universiti Tanah Melayu. Tidak berapa lama selepas itu, barulah ia ditukar pada nama seperti mana sekarang. Ar-Rahman adalah salah satu daripada nama-nama Allah s.w.t. yang bermaksud “Yang Maha Pengasih atau Penyayang”. Namun demikian, Ar-Rahman yang dinisbahkan ke atas masjid ini adalah bersempena dengan nama Perdana Menteri Malaysia ketika itu iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang merupakan pengasas yang memainkan peranan yang sangat besar dalam usaha penubuhannya. Pada masa itu, penduduk-penduduk dari kira-kira 15 buah kariah atau kampung yang hadir ke Masjid Ar-Rahman untuk solat berjemaah disitu.

Pada tahun 1988, Masjid Ar-Rahman itu telah dibaikpulih serta dinaiktaraf dengan kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang mana telah menanggung segala kos baik pulih dan naiktaraf tersebut. Sebaik sahaja usaha-usaha tersebut selesai, pihak JAWI telah mengambil alih pentadbiran masjid tersebut daripada Universiti Malaya dan terus kekal sehingga hari ini.

LOKASI MASJID AR-RAHMAN

(klik imej untuk besarkan peta)

Masjid Ar-Rahman terletak di Jalan Pantai Baru, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Ia terletak di sebelah kiri ke pintu masuk utama Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Kedudukannya begitu strategik kerana berhampiran dengan pusat bandar Kuala Lumpur, Ibu Negara Malaysia. 

Di sekelilingnya pula, terdapat tiga buah lebuhraya yang menjadi penghubung utama untuk masjid ini iaitu Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dan juga Lebuhraya Kerinchi (Kerinchi Link. Hal ini menyebabkan masjid ini begitu mudah untuk ditemui dan dicari terutamanya oleh warga kota. Begitu banyak sekali bangunan yang berada di sekelilingnya. Daripada dua Institusi Pengajian Tinggi Awam (Universiti Malaya) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang terdiri daripada Perguruan Bahasa Melayu dan Peguruan Bahasa Antarabangsa, juga terdapat berhampirannya Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) (dulunya Hospital Universiti), Balai Polis Pantai Baru, binaan unik Menara Telekom, Stadium Hoki Kuala Lumpur dan juga lain-lain lagi. Ini menjadikan masjid ini sebagai tempat tumpuan masyarakat umum untuk menunaikan tanggungjawab dan ibadah terutamanya solat fardhu Jumaat. Walaupun semakin dihimpit pembangunan berterusan di sekitarnya, namun Masjid Ar-Rahman tetap terus berdiri teguh memainkan fungsinya kepada agama, bangsa dan negara.